Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN 31 JULAI 2021 : Tiada ungkapan yang terucap oleh Encik Ibrahim Ali, 68 tahun, selain tangisan kesyukuran dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga terhadap keprihatinan Kerajaan Pahang dalam membantu kelapan-lapan cucunya yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 dengan meluluskan segera bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP), baru-baru ini.
Kisah lapan beradik itu tular selepas kematian kedua-dua ayah, Encik Benyajeed Bernie, 48, dan ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, selepas dijangkiti COVID-19, pada 16 dan 18 Julai lalu.
Encik Ibrahim yang menetap di FELDA Kota Gelanggi 2, Jerantut, tidak menyangka Kerajaan Negeri sangat prihatin terhadap nasib yang menimpa cucunya apabila segera meluluskan bantuan RRP bagi memberikan kediaman yang selesa kepada lapan cucunya.
“Saya beryukur sangat kepada Allah SWT, kerana Kerajaan Pahang prihatin dengan anak cucu saya, saya sangat-sangat terharu, maklumlah anak-anak saya pun tak dapat nak bagi benda-benda (rumah) ini kepada mereka.
“Terima kasih banyak-banyak kerana membantu anak cucu saya mendapatkan sebuah rumah, kami pihak keluarga bersyukur sangat dengan bantuan ini. Tak tahu apa saya nak cakap cuma Allah SWT sahaja yang membalas segala bantuan yang ada untuk anak cucu saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Encik Ibrahim berkata, dia bersama isteri akan membawa pulang kelapan-lapan cucunya itu yang kini menetap di Bukit Beruntung, Selangor menjelang penghujung Ogos depan selepas dia dan isteri melengkapkan kedua-dua dos vaksin COVID-19.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah sempat bertemu Encik Ibrahim dan isteri untuk berbincang berhubung pembinaan RRP supaya dapat disegerakan urusannya.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kerana mempercepatkan dan memudahkan urusan kepada lapan beradik dan keluarga mereka,” katanya. – PAHANGMEDIA