Oleh : Fansurina Abdullah
JERANTUT, 29 JULAI 2021: Sebanyak 464 rumah peneroka yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 23 Julai hingga 5 Ogos di FELDA Jengka 12 menerima sumbangan bantuan daripada pihak FELDA.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah, hari ini.
Menurut YB Dato’ Haji Nazri, semua penduduk terlibat PKPD telah menerima bantuan berupa barangan keperluan seperti beras, ayam segar, roti, mi kuning dan sayur kerana kesukaran mereka mendapatkan bekalan makanan ekoran PKPD di kawasan terbabit.
“Saya berharap supaya kesemua penduduk di kawasan PKPD dapat mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) supaya kita semua dan komuniti dapat memutuskan jangkitan COVID-19 ini” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Beliau turut berharap semoga segala urusan dapat dipermudahkan dan keadaan kembali seperti biasa supaya penduduk dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. – PAHANGMEDIA