Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 29 JULAI 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersetuju menanggung kos pembedahan adik Zulaikha Al-Hasanah Zulkalnain Shamsi, 21, yang menderita penyakit batuk kering atau Tuberkulosis (TB) tahap kritikal yang memerlukan pembedahan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, YAB Menteri Besar sudah meluluskan RM21,000 untuk membayar bil pembedahan adik Zulaikha
“Pada 21 Julai lalu, YAB Menteri Besar telah dimaklumkan tentang adik ini. Beliau terus mengarahkan saya untuk ambil tindakan. Keesokannya Pegawai Unit Wanita dan Sosial Negeri, Puan Norbaini Abu Bakar telah membuat lawatan dan mengambil maklumat berkaitan.

“Seterusnya pihak kami telah menghubungi Hospital UIA dan membuat aku janji bagi menyelesaikan bil pembedahan adik Zulaikha dan meminta supaya pembedahan dilakukan segera.
“Alhamdulillah, pihak Hospital telah menjalankan pembedahan ke atas adik Zulaikha kelmarin dan semalam YAB Menteri Besar telahsecara rasminya meluluskan sejumlah RM21,000 sepertimana bil yang dikemukakan oleh pihak Hospital,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.
Beliau berkata, perhatian pantas yang diberikan oleh YAB Menteri Besar Pahang berkaitan keadaan adik Zulaikha bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawanya malah juga membuktikan YAB Menteri Besar Pahang peka dan memahami perit jerih rakyat Pahang yang sedang di dalam kesempitan.
Sementara tu, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza ketika dihubungi mendoakan kesembuhan buat adik Zulaikha agar beliau dapat segera menyambung pengajiannya dan mengucapkan terima kasih kepada pemilik akaun Facebook Serambi Iman yang memuat naik kisah penderitaan adik Zulaikha .
Beliau juga berharap sekiranya ada keluarga yang benar-benar tidak berkemampuan dan berada dalam kesusahan diminta untuk menghubungi pemimpin setempat agar bantuan sewajarnya dapat diberikan. – PAHANGMEDIA