Gambar hiasan

COVID-19: PEKEBUN DAN PENIAGA DURIAN PERLU BUAT UJIAN PCR SEBELUM MEMASUKI RAUB

KUANTAN, 28 JULAI 2021: Semua peniaga dan pekebun durian dari luar Raub yang ingin memasuki daerah berkenaan perlu menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) COVID-19 sekurang-kurangnya tiga hari sebelum memulakan perjalanan.

Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan berkata, mereka harus membawa keputusan ujian saringan untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) yang ada di Daerah Raub sebagai bukti.

Kenyataan itu menyatakan bahawa pelaksaan arahan ini berikutan berlaku penularan wabak COVID-19 dalam kalangan peniaga dan pekebun durian di beberapa lokaliti di Daerah Raub.

“Sehubungan itu, bagi membendung penularan wabak ini, Yang Dipertua Majlis Daerah Raub melalui surat bertarikh 26 Julai 2021 kepada Pegawai Pertanian Daerah Raub telah mengarahkan semua peniaga dan pekebun durian dari luar daerah yang ingin memasuki Daerah Raub perlu menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) COVID-19,” kata kenyataan itu hari ini.

Arahan ini adalah berkuatkuasa serta merta dan semua pemegang Surat Pengesahan Keterlibatan Dalam Aktiviti Rantaian Pembekalan dan Pemasaran Berkaitan Keperluan Makanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia perlu mematuhi arahan ini.

Perkara ini adalah sejajar dengan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Majlis Daerah Raub berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Seksyen 72(1)(f) (i).

Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 09-355 1267/ 013-965 7293 (waktu pejabat sahaja). – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download