Gambar hiasan

MUIP AGIH RM24.87 JUTA UNTUK BANTUAN COVID-19

KUANTAN, 28 JULAI 2021: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengagihkan bantuan COVID-19 berjumlah RM24.87 juta bagi membantu umat Islam yang terkesan akibat penularan wabak ini sejak Januari hingga Jun lalu.

Timbalan Yang Di-Pertua MUIP, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM22.19 juta telah dilakukan secara tunai melalui E-Asnaf ke dalam akaun 57,866 penerima dan selebihnya juga diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas.

“Pada tahun 2020 pula, pihak MUIP telah mengagihkan bantuan COVID-19 sebanyak RM15.18 juta kepada umat Islam yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Timbalan Yang Di-Pertua MUIP, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

“Seramai 49,205 penerima telah menerima bantuan tunai melalui E-Asnaf yang berjumlah RM9.84 juta dan selebihnya diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

YAM Tengku Amir Nasser berkata, pandemik COVID-19 ini juga memberi kesan secara langsung terutamanya kepada cara hidup dan ekosistem perniagaan di negara sehingga menyebabkan ramai individu telah hilang pekerjaan.

“Sebahagian besar peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan mereka, gerai-gerai dan pasar malam tidak boleh beroperasi yang mana menyebabkan kehilangan pendapatan.

“Menyedari perkara ini, zakat dilihat sebagai salah satu cara yang efektif bagi membantu mereka yang terkesan dengan pandemik ini. Zakat merupakan antara instrumen utama yang memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi umat Islam serta menjamin keadilan dan kestabilan sosial dapat dilaksanakan,” jelas beliau.

Justeru, Kebawah Duli yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tuanku Yang Di-Pertua MUIP juga mengalakkan semua umat Islam di Pahang menginfak sebahagian harta dan pendapatan mereka untuk membantu golongan yang memerlukan ketika pandemik ini.

“Seperti semua maklum bahawa berinfak ke jalan Allah SWT tidak sekali-kali menyebabkan harta akan berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta yang dimiliki, serta dapat memberkati usia dan juga rezeki,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download