KUANTAN, 28 JULAI 2021: Kerajaan Pahang mengingatkan mana-mana individu supaya tidak menyalahgunakan lambang Negeri Pahang atau jata Kerajaan Negeri Pahang dengan sewenang-wenangnya.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menerusi kenyataan media hari ini berkata, sejak kebelakangan ini diperhatikan terdapat penyalahgunaan lambang Negeri Pahang atau jata Kerajaan Negeri Pahang oleh pihak yang tidak berkenaan atau tidak bertanggungjawab dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp, penggunaan lambang di kenderaan dan lain-lain.

Beliau berkata, penyalahgunaan ini hendaklah dihentikan dengan serta merta berdasarkan enakmen seperti Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 [Enakmen No. 18 Tahun 2017] telah memperuntukkan larangan penggunaan tidak wajar lambang, gelaran atau anugerah Negeri Pahang termasuklah Jata Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Jata Diraja Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Jata Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.
Beliau juga menjelaskan, Subseksyen 3(1) Enakmen No. 18 Tahun 2017 memperuntukkan bahawa walau apa pun peruntukan dalam mana-mana undang-undang bertulis, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang iaitu:
(a) Menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan, profesion atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian;
(b) Membuat, menempah, menghasilkan dalam apa-apa bentuk atau cara atau menggunakan atau terus menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya, dalam tajuk apa-apa paten atau apa-apa cap dagangan atau reka bentuk.
(c) Membuat bagi maksud jualan atau menjual atau mempamer untuk jualan atau memiliki untuk dijual, apa-apa lambang, gelaran atau anugerah.
(d) Mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan.
“Sehubungan dengan itu, mana-mana individu yang melanggar larangan penggunaan tidak wajar lambang Negeri Pahang boleh didakwa dan dikenakan hukuman di bawah subseksyen 3(2) Enakmen No. 18 Tahun 2017 yang, apabila disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.-PAHANGMEDIA