Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
LIPIS, 27 JULAI 2021 : Pihak Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka akan turun ke kampung bagi mendapatkan maklumbalas penduduk mengenai status capaian internet daripada dua menara telekomunikasi yang baharu siap.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata dua menara baharu tersebut adalah di Kampung Sungai Lik dan Kampung Ridan.
“Kami akan uji (capaian internet) di Sungai Lik dan Sungai Ridan sebab baru saja siap (menara baharu). Kami akan lawat dan turun ke kampung tanya macam mana kegunaan mereka yang sebenarnya.
“Jadi kami akan memberi respon kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia) dan pihak yang bertanggungjawab supaya mereka benar-benar boleh uji sejauh mana keberkesanan menara yang telah siap ini,” katanya.

Beliau berkata dengan pembinaan stesen pemancar sementara di Kampung Relai yang dipersetujui oleh Kerajaan Negeri, ia adalah untuk manfaat kepada rakyat.
“Kami percaya Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dengan adanya ilmu dan kemahiran mereka mesti membuat sesuatu yang lebih baik untuk rakyat.
“Dan kami yakin dengan adanya jaminan dan juga usaha itu kami berharap usaha itu (menambahbaik capaian internet) akan berhasil,” katanya.
Sebanyak lapan menara telekomunikasi baharu dalam proses pembinaan di kawasan Dewan Negeri (DN) Cheka dengan dua daripadanya iaitu di Kampung Sungai Lik dan Kampung Ridan telah siap dan mula beroperasi pada awal Jun 2021.
Turut dilaksanakan ialah kerja-kerja naik taraf ke atas 30 stesen pemancar sedia ada di DN Cheka kepada rangkaian 4G termasuk sebuah stesen pemancar di Kampung Relai. Kerja-kerja naik taraf berkenaan akan bermula secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Mac 2022. -PAHANGMEDIA