Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah (kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari (tengah) mengenai masalah air di sekitar Felda Sungai Retang ketika melawat ke Loji Air Seberang Tembeling Kampung Air Hitam/Pasir Sia.

KERAJAAN PAHANG PANDANG SERIUS ISU AIR DI FELDA SUNGAI RETANG

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 25 JULAI 2021 : Kerajaan Pahang menjalankan perbincangan bersama pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) bagi menyelesaikan isu air yang melibatkan kawasan sekitar Felda Sungai Retang di Jerantut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, pihak kerajaan negeri memandang serius permasalahan terbabit khususnya berkaitan kebajikan masyarakat setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah (kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari (tengah) mengenai masalah air di sekitar Felda Sungai Retang ketika melawat ke Loji Air Seberang Tembeling Kampung Air Hitam/Pasir Sia.

“Satu perbincangan telah dibuat bersama pihak PAIP dan Insyaa Allah perkara ini akan dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini.

Semalam, YB. Dato’ Haji Nazri melawat ke Loji Air Seberang Tembeling Kg Air Hitam/Pasir Sia yang mengalami masalah air bersama Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari; Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris; Pengurus PAIP Daerah Jerantut dan kepimpinan setempat.

Beliau turut meminta agar penduduk setempat dan kawasan sekitarnya dapat bersabar dengan masalah air paip yang melanda selama ini sementara pihak kerajaan berusaha menyelesaikan masalah yang sering berulang.

Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang ke-14 pada tahun lalu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah memperuntukkan RM200,000 bagi memasang pam galak di Loji Rawatan Air (LRA) Seberang Tembeling bagi mengepam air ke kawasan sekitar.

Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil serius berhubung permasalahan air yang dialami penduduk di kawasan Felda Sungai Retang, Jerantut. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download