Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 25 JULAI 2021 : Perbandanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) kini bersedia menerima kehadiran pelancong pada bila-bila masa kerana telah berjaya mewujudkan imuniti kelompok apabila lebih 90 peratus penduduk di kawasan pelancongan tersohor itu telah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 mereka.
Pemangku Pengurus Besar PKBF, Encik Kamaruddin Ibrahim berkata, sehingga kini seramai 313 penduduk yang layak menerima vaksin telah berbuat demikian pada program pemberian vaksin yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Bukit Fraser, di Raub, semalam.
“Kalau melihat kepada kriteria utama bagi sesuatu kawasan untuk beroperasi semula dalam sektor pelancongan, kita telah pun mencapai kriteria yang pertama itu, maknanya semua komuniti yang berada di kelompok komuniti Bukit Fraser ini telah pun divaksin.
“Saya ingat kerajaan negeri pun akan bersedia untuk membuka Bukit Fraser kepada pengunjung luar dan seterusnya mengaktifkan semula kita punya aktiviti-aktiviti pelancongan yang terdapat di Bukit Fraser,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyediakan draf prosedur operasi standard (SOP) bagi perlaksanaan pembukaan perniagaan di kawasan yang telah menerima vaksin pada kadar yang tinggi seperti di lokasi pelancongan.
“Kita akan mensyaratkan tempat-tempat tumpuan awam seperti restoran, hotel, pusat-pusat ibadat dan sebagainya dikeluarkan sijil vaksinasi, jika seluruh warga kerjanya telah divaksinkan. Ini untuk memberikan keyakinan kepada masyarakat sekiranya mereka mengunjungi tempat-tempat tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan penelitian dan kajian kemungkinan pemvaksinan ini akan dijadikan syarat pengoperasian lesen perniagaan dan juga kad kesihatan yang kemungkinan akan terpakai meliputi vaksinasi berdasarkan kepada kesesuaian teknikal dan perundangan. – PAHANGMEDIA