Oleh : Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 24 JULAI 2021 : Penduduk yang akan menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baru di Dewan MPT Lanchang dan Dewan Tun Razak boleh menggunakan kemudahan pengangkutan yang disediakan.
Hasil inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin itu menyaksikan dua buah bas dan sebuah van yang disediakan oleh syarikat pelancongan, Zam Holiday Sdn Bhd secara percuma itu mula beroperasi hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang berkata, perkhidmatan tersebut seiring dengan pembukaan PPV baru di Lanchang.
“Hari ni kita mulakan PPV baru bagi kawasan Lanchang…hari ni sahaja 600 orang datang untuk vaksin dari pagi hingga petang. Kita juga menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk di sini yang ingin pergi vaksin mengikut SOP ditetapkan iaitu seramai 24 orang dalam satu bas dan van seramai empat ke lima orang bagi satu trip perjalanan.
“Kita ucap terima kasih kepada pihak Zam Travel kerana memberi perkhidmatan dan kita bagi saguhati kepada pemandu, sementelah sektor pelancongan tidak dapat beroperasi dan bas-bas dapat digunakan untuk tujuan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau ditemui pemberita ketika program perasmian pelancaran perkhidmatan bas percuma untuk kegunaan penerima-penerima vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Dun Lanchang dan Daerah Temerloh sempena pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lanchang di Dewan MPT Lanchang, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pemberian vaksin dari rumah ke rumah akan dilakukan secepat mungkin bagi memastikan tiada yang tercicir sepanjang program dilaksanakan.
“Kita ada 100 nama dalam senarai yang mana mereka ini sakit terlantar serta tidak mampu hadir ke pusat vaksin. Pasukan perubatan (vaksin) akan mula pergi ke rumah mereka pada minggu ini,” katanya. – PAHANGMEDIA