Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 23 JULAI 2021 : Seramai 17 pelajar di daerah Raub yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini menerima bantuan komputer riba daripada Kerajaan Pahang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata program ini adalah salah satu usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Pahang bagi membantu pendidikan anak-anak di negeri ini.
“Pagi semalam, saya bersama YB. Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin, ADN Dong menyampaikan bantuan komputer riba kepada penerima yang akan mengambil peperiksaan SPM Tahun 2021 secara pandu lalu.
“Program bantuan komputer riba ini adalah usaha Kerajaan Negeri Pahang membantu anak-anak di negeri ini dalam proses pembelajaran secara PDPR pada masa kini disamping sebagai bantuan persediaan untuk mereka menghadapai peperiksaan SPM tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan komputer riba kepada 17 pelajar dalam Program Penyampaian Komputer Riba Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada Anak Penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Lobi Pejabat Gunasama Persekutuan Raub.
Menurut beliau lagi, sebanyak 40 pelajar dipilih menerima komputer riba di daerah Raub dengan penyampaian dilakukan secara berperingkat
“Sebanyak 40 orang penerima komputer riba di seluruh Raub yang merupakan anak kepada penerima Bantuan Kanak- Kanak JKM.
“Mereka ini dipilih berdasarkan mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 17 penerima hari ini dan kita telah menyampaikan komputer riba kepada 20 penerima terdiri daripada pelajar di DN Batu Talam baru-baru ini,” katanya.
Beliau juga turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 217 ketua isi rumah di Pos Kawalan dan Sekatan Jalan Raya (SJR) Perkampungan Orang Asli Kg Ruai, Ulu Sungai yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 5 Ogos depan. -PAHANGMEDIA