Pengarah SKMM Pahang, Mohd Faisal Md Nor (tiga dari kiri) bersama-sama dengan penduduk mengadakan tinjauan infrastruktur telekomunikasi di FELDA Bukit Mendi, Bera.

JARINGAN KOMUNIKASI 4G BAGI PENDUDUK DI TIGA KAWASAN DI BERA

Oleh : Fairus Mohd

BERA, 23 JULAI 2021 : Penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Tuang, FELDA Bukit Puchong dan FELDA Bukit Mendi kini boleh menikmati jaringan komunikasi 4G.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang dalam satu kenyataan berkata, tiga infrastruktur telekomunikasi yang didirikan di kawasan berkenaan telah siap dan beroperasi sejak awal Jun 2021.

“Sebelum ini, liputan di kawasan yang mempunyai seramai 5,500 orang penduduk itu terhad terutamanya guru dan pelajar dari SK FELDA Bukit Puchong dan SMK FELDA Bukit Mendi menjalankan aktiviti PdPR dari rumah mengalami kesukaran mengakses Internet.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap, dianggarkan sebanyak 192 talian jalur lebar tetap sedia ada di FELDA Bukit Puchong dan FELDA Bukit Mendi yang masih menggunakan teknologi lama berasaskan kabel tembaga akan dinaiktaraf kepada rangkaian kabel gentian optik,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, kerja-kerja naik taraf yang dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2022 itu membolehkan penduduk menikmati perkhidmatan jalur lebar tetap yang lebih laju dan stabil.

Ketika tinjauan dilakukan, SKMM Pahang turut berkesempatan bertemu dengan Pengurus Felda Bukit Puchong, Encik Hanafi Hashim yang memberikan maklum balas positif mengenai pembinaan infrastruktur telekomunikasi itu.

Menurutnya, dengan ada liputan 4G, beliau kini boleh menggunakan aplikasi dalam talian selain mengemukakan cadangan kepada pengurusan FELDA untuk menjalankan pemantauan aktiviti perladangan menggunakan dron berteraskan pertanian pintar serta inovasi dari aspek penuaian, penyelenggaraan dan pembajaan.

Terdahulu, pihak SKMM Pahang telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pegawai Khas YAB Ahli Parlimen Bera (YAB Timbalan Perdana Menteri) di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bera, Dato’ Haji Tahzir Husain yang turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Bera, Encik Yamin Hafiz Yusof, untuk berkongsi maklumat berkaitan inisiatif MCMC dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk kawasan Parlimen Bera.

Sebagai usaha berterusan, beberapa inisiatif lain juga telah dirancang di bawah pelan JENDELA yang mana sebanyak sepuluh buah menara baharu lagi akan dibina di dalam kawasan Parlimen Bera.

Menara-menara berkenaan akan mula dibina seawal September 2021 dan dijangka siap secara berperingkat antara Mac hingga Jun 2022.

Selain pembinaan menara-menara baharu, kerja-kerja naiktaraf sebanyak 57 buah stesen pemancar sedia ada kepada rangkaian 4G juga telah dirancang dilaksanakan di seluruh kawasan Parlimen Bera bermula pada Ogos 2021 dan siap secara berperingkat sehingga Mac 2022.

Pada masa yang sama, sebanyak 4,193 buah premis di Parlimen Bera juga akan terlibat dalam kerja naiktaraf infrastruktur jalur lebar tetap daripada teknologi berasaskan kabel tembaga kepada rangkaian gentian optik.

Ini bagi membolehkan capaian jalur lebar tetap dengan kelajuan gigabait disediakan di mana inisiatif ini telah bermula semenjak suku pertama 2021 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku kedua 2022 bergantung kepada ketersediaan infrastruktur sedia ada. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download