COVID-19 : SATU KLUSTER BAHARU DI LIPIS, 21 DIKESAN POSITIF

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 21 JULAI 2021 : Terdapat satu kluster baharu dilaporkan hari ini di Lipis dengan 21 individu dikesan positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kluster ini dinamakan Kluster Nabun, Lipis.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah

“Kluster ini mula dilaporkan pada 19 Julai 2021 di daerah Lipis. Nama kluster merujuk kepada tempat berlakunya kluster ini iaitu di Kampung Melayu Nabun, Benta. Kes indeks adalah seorang pemandu lori persendirian. Kes mengangkut minyak diesel dan menghantar ke kawasan di sekitar daerah Raub dan Lipis.

“Kluster dikesan hasil saringan bergejala isteri kepada kes indeks. Isteri kes hanyalah seorang suri rumah dan tidak mempunyai sejarah pergerakan keluar daerah.

“Isteri kes membuat RTK di klinik kesihatan pada 16 Julai 2021 dan keputusan adalah positif. Keluarga kes seramai lima orang seterusnya disaring pada hari yang sama dengan swab PCR. Seramai 25 orang telah disaring dan seramai 21 orang telah dikesan positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata terdapat 14 kluster aktif mencatatkan pertambahan kes dikesan positif COVID-19 hari ini iaitu sebanyak 154 kes.

“…iaitu Kluster Sungai Jelai (pertambahan 9 kes dengan jumlah keseluruhan 110 kes) Kluster Pos Iskandar (pertambahan 44 kes dengan jumlah keseluruhan 165 kes), Kluster Paya Luas (pertambahan 15 kes dengan jumlah keseluruhan 117 kes), Kluster Jalan Jaya (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 71 kes).

“Kluster Industri Jerantut Feri (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 61 kes), Kluster Industri Bypass Gebeng (pertambahan 6 kes dengan jumlah keseluruhan 233 kes), Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 9 kes dengan jumlah keseluruhan 547 kes), Kluster Rantau Melor (pertambahan 22 kes dengan jumlah keseluruhan 47 kes), Kluster Jalan Chengal (pertambahan 16 kes dengan jumlah keseluruhan 56 kes).

“Kluster Lorong Baiduri Satu (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 37 kes), Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 1229 kes), Kluster Industri Bentong Sebelas (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 24 kes), Kluster Industri Benus (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 262 kes) dan Kluster Jalan Mahkota (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 35 kes),” katanya.

Menurut beliau, kesemua 11 daerah di negeri ini berada dalam zon merah hari ini dengan tiada daerah berada dalam zon oren, kuning dan hijau.

Sebanyak 603 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 19,839 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download