Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 21 JULAI 2021: Kerajaan Pahang tidak menerima sebarang laporan mengenai suntikan picagari kosong di negeri ini.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.
“Bagaimanapun sekiranya terdapat aduan maka pengesahan akan dibuat kepada pihak yang terlibat dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan tular di media sosial beberapa kejadian suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang didakwa membabitkan picagari kosong.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dilaporkan memandang berat dakwaan berkenaan termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM bagi menjalankan siasatan terhadap kejadian tersebut.
Sementara itu katanya, bekalan Vaksin COVID-19 di Negeri Pahang adalah mencukupi dan orang ramai akan dipanggil secara berperingkat untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Mengenai pelaksanaan pemberian vaksin di PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, beliau berkata, proses pemberian vaksin berjalan lancar dan beliau meminta kepada penerima agar memamatuhi arahan petugas, terutamanya berkaitan kawalan lalu lintas dikawasan tersebut. – PAHANGMEDIA