Oleh: Fairus Mohd
PEKAN, 21 JULAI 2021 : Kerajaan Negeri Pahang terus menyalurkan sumbangan berterusan bagi meringankan beban rakyat di negeri ini termasuk golongan ibu tunggal.
Sebanyak 2,800 pek sumbangan barangan makanan asas daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail diberikan kepada Persatuan Ibu Tunggal Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata,sumbangan berkenaan diagihkan kepada ibu tunggal di 14 buah parlimen dalam negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan setiap lapisan rakyat, tidak kira lelaki atau perempuan, pelbagai peringkat usia dan bangsa.. Kita berusaha agihkan semua bantuan dengan harapan tiada lagi yang terlepas pandang.

“Kita benar-benar membantu, lihat sahaja Bantuan Prihatin Pahang Fasa 2 pun belum selesai agih, Fasa 3 sudah pun YAB Menteri Besar umumkan kelulusan. Apa yang diharapkan ialah semua yang memerlukan dapat manfaatnya,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Negeri Pahang, YH Dato’ Melati Ali berkata, kesemua 14 buah Parlimen di negeri ini akan menerima 200 pek sumbangan yang akan diagihkan melalui persatuan di parlimen masing-masing.
“Jika kita lihat, keseluruhan ahli ada lebih 20,000 orang di negeri ini jadi pemberian beg makanan ini akan dibuat secara lebih bersasar.
“Kita akan bagi kepada yang benar-benar memerlukan dulu.. setiap parlimen ada jawatankuasa penyelarasan yang ada rekod keahlian, data ahli boleh dikenalpasti dengan lebih teliti seperti yang ada anak ramai, yang hilang kerja, yang tak pernah dapat apa-apa sumbangan dan sebagainya,” katanya
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) berharap agar sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban mereka terutamanya dalam menyambut Aidiladha tidak lama lagi.
“Terima kasih kerajaan negeri terutamanya YAB Menteri Besar Pahang kerana tidak pernah meminggirkan golongan ibu tunggal malah menjadi antara keutamaan dalam pengagihan
bantuan dan sebagainya.
“Apa yang diharapkan ialah kita semua menjadi golongan yang sentiasa bersyukur, berterima kasih dan tidak berputus asa dengan ujian yang dilalui dalam kehidupan,” katanya. – PAHANGMEDIA