COVID-19 : ENAM KEMATIAN BAHARU, EMPAT DARIPADANYA LIBATKAN TIGA KLUSTER AKTIF

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 18 JULAI 2021 : Terdapat enam kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan hari ini dengan empat daripadanya berkaitan dengan tiga kluster aktif.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 207 kes.

“Kes ke-202 merupakan seorang lelaki berumur 38 tahun dari Bandar Lipis. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Sungai Jelai. Kes ke-203 merupakan seorang lelaki berumur 59 tahun dari RTP Bukit Goh, Kuantan. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Pasar Kemunting.

“Kes ke-204 merupakan seorang lelaki berumur 56 tahun dari Jalan Benta, Kg baru, Jerantut. Kes ke-205 merupakan seorang perempuan berumur 40 tahun dari Taman Saujana, Lepar Hilir 4, Kuantan. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Jalan Tanah Putih.

“Kes ke-206 merupakan seorang perempuan berumur 61 tahun dari Kg. Sama, Benta, Lipis. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Sungai Jelai. Manakala kes ke-207 merupakan seorang perempuan berumur 55 tahun dari Felda Lepar Hilir 4, Kuantan,” katanya.

Beliau berkata sehingga 12 tengah hari, sebanyak 2,369 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan tujuh Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini manakala 543 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 27 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 18 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan sembilan kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 20 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 305 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 64 kes merupakan warganegara asing.

“Sebanyak 266 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, 10 kes import (5 dari Selangor, 1 dari Kuala Lumpur, 4 dari Terengganu).

“Terdapat 72 kes diperolehi daripada saringan kluster, 186 saringan kontak rapat, 16 saringan bergejala, 93 saringan bersasar (OKT), satu (1) saringan pra pekerjaan dan satu (1) saringan pekerjaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua 11 daerah di negeri ini mencatatkan pertambahan kes dengan kes tertinggi dicatatkan di Kuantan.

“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (179 kes), diikuti Bentong (109 kes), Jerantut (31 kes), Temerloh (14 kes), Lipis (10 kes), Maran (6 kes), Cameron Highlands (6 kes), Bera (5 kes), Raub (4 kes), Pekan (3 kes) dan Rompin (2 kes),” katanya.

Sebanyak 369 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 18,473 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download