COVID-19 : UPACARA PENGEBUMIAN CETUS SATU KLUSTER BAHARU DI BERA, 36 DISAHKAN POSITIF

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 18 JULAI 2021 : Terdapat satu kluster baharu dilaporkan hari ini melibatkan upacara pengebumian di daerah Bera dengan 36 individu disahkan positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kluster berkenaan adalah Kluster Pos Iskandar.

“Kluster ini mula dilaporkan pada 18 Julai 2021 di daerah Bera. Nama kluster merujuk kepada lokaliti disyaki berlaku penyebaran wabak iaitu di tiga buah kampung dalam Pos Iskandar.

“Kes indeks merupakan seorang lelaki, warganegara Malaysia disahkan positif COVID-19 pada 3 Julai 2021. Terdapat kematian berlaku di hadapan rumah kes indeks pada 8 Julai 2021 di mana keluarga kes indeks pergi menghadiri serta menguruskan gotong-royong upacara pengebumian. Ramai penduduk kampung turut hadir membantu.

“Pada masa yang sama terdapat tiga individu yang pulang ke Pos Iskandar dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bentong dan didapati positif COVID-19 pada 11 Julai 2021 dan 14 Julai 2021. Tiga kes ini membuat saringan kerana menjadi kontak rapat kepada kes semasa aktiviti majlis pengkebumian.

“Hasil saringan kepada tiga kes positif ini mendapati 23 lagi kes positif COVID-19 seterusnya pengesanan kes secara aktif dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 221 individu telah disaring dengan 36 individu telah didapati positif dalam kluster ini.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pos Iskandar telah diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara bermula 19 Julai 2021 sehingga 1 Ogos 2021,” katanya.

Menurut beliau lagi, terdapat lapan kluster aktif mencatatkan pertambahan kes sebanyak 72 kes baharu disahkan positif COVID-19 hari ini.

“…iaitu Kluster Industri Jerantut Feri (pertambahan 25 kes dengan jumlah keseluruhan 52 kes ), Kluster Jalan Bypass Gebeng (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 216 kes).

“Kluster Jalan Gebeng 1/11 (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 29 kes), Kluster Jalan Mahkota (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 26 kes), Kluster Jalan Tanah Putih (pertambahan 6 kes dengan jumlah keseluruhan 101 kes).

“Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 22 kes dengan jumlah keseluruhan 1200 kes), Kluster Sungai Jelai (pertambahan 4 kes dengan jumlah keseluruhan 111 kes) dan Kluster Tapak Bina Jalan Tengku Abdul Samad (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 19 kes),” katanya.

Sebanyak 369 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 18,473 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download