Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 JULAI 2021 : Terdapat satu kluster baharu dilaporkan pada hari ini iaitu Kluster Rantau Melor di daerah Jerantut dengan tujuh disahkan positif COVID-19.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata nama kluster ini merujuk kepada lokaliti berlakunya penularan wabak COVID-19 iaitu di Felda Jengka 12 atau Felda Bunga Melor.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang wanita warganegara Malaysia. Kes mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak pada 10 Julai 2021 dan beliau pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan pada 13 Julai 2021.
“Ujian swab PCR telah dilakukan dan keputusan disahkan positif pada 16 Julai 2021. Sehingga 17 Julai 2021, seramai 25 orang telah dikenalpasti mempunyai kontak rapat dengan kes indeks dan telah menjalani ujian PCR di mana tujuh orang daripadanya dilaporkan positif,” katanya.
Beliau berkata terdapat sembilan kluster aktif mencatatkan pertambahan kes baharu disahkan positif COVID-19 hari ini iaitu sebanyak 81 kes.
“…iaitu Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 37 kes dengan jumlah keseluruhan 1178 kes), Kluster Rantau Kesidang (pertambahan 3 kes dengan jumlah keseluruhan 36 kes), Kluster Industri Bentong Sebelas 2 (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 24 kes ), Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 6 kes dengan jumlah keseluruhan 534 kes), Kluster Sungai Jelai (pertambahan 18 kes dengan jumlah keseluruhan 107 kes ).
“Kluster Lorong Baiduri Satu (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 34 kes ), Kluster Jalan Songsang (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 28 kes), Kluster Jalan Jaya (pertambahan 2 kes jumlah keseluruhan 64 kes) dan Kluster Jalan Chengal Temerloh (pertambahan 3 kes dengan jumlah keseluruhan 15 kes),” katanya.
Sebanyak 317 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 18,104 kes. -PAHANGMEDIA