Gambar hiasan

SEBANYAK 11,021 PURATA SUNTIKAN SEHARI DIBERIKAN DI PAHANG

KUANTAN, 17 JULAI 2021 : Pahang mencatatkan purata suntikan vaksinasi COVID-19 sebanyak 11,021 suntikan sehari dalam tempoh tujuh hari kebelakangan ini.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata, jumlah ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding sebelum ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah.

“Secara umumnya, pada bulan Julai, kita mencatatkan purata sebanyak 9,389 suntikan setiap hari.

“Namun jika dilihat pada tujuh hari ke belakang, purata suntikan adalah sebanyak 11,021 per hari. Iaitu peningkatan yang ketara berbanding sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Beliau berkata, sejak bermula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Negeri Pahang, sebanyak 490,824 suntikan vaksin COVID-19 telah diberikan kepada penduduk negeri ini.

“303,131 suntikan merupakan suntikan Dos 1 iaitu melibatkan 18.1 peratus daripada jumlah penduduk di Pahang.

“Manakala baki sebanyak 187,693 suntikan lagi merupakan suntikan Dos 2 iaitu melibatkan sebanyak 11.52 peratus daripada jumlah penduduk,” katanya.

Menurut beliau lagi, sehingga 18 Julai, Pahang telah menerima 187,160 dos vaksin iaitu bertambah sebanyak 16,960 dos berbanding agihan asal.

“Berdasarkan agihan asal, Pahang bakal menerima 448,350 dos untuk kegunaan bulan Julai, dan sehingga 18 Julai, kita telah menerima sebanyak 187,160 dos.

“Dos yang diterima ini lebih 16,960 dos berbanding cadangan agihan asal iaitu sebanyak 170,200 dos. Bagi dos tambahan yang diterima, diperuntukkan untuk PPV Industri dan PPV Integrasi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download