KUANTAN, 16 JULAI 2021: Kerajaan Pahang menetapkan pemberian diskaun atau potongan sehingga 50 peratus ke atas sewaan bulanan bagi premis-premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian diskaun atau potongan ini ialah untuk selama empat bulan iaitu bagi Jun, Julai, Ogos dan September 2021 di mana seramai 6,237 penyewa, peniaga dan penjaja akan menerima manfaatnya.
Beliau berkata, perkara itu telah dipersetujui pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lepas yang bertujuan meringankan beban penyewa, peniaga dan penjaja susulan kehilangan hasil perniagaan akibat wabak pandemik COVID-19 serta langkah-langkah ketat menanganinya.
“Menerusi pemberian diskaun atau potongan ini, misalnya bagi kadar sewaan bulanan tertinggi sebanyak RM9,000 akan menjadi cuma RM4,500 manakala kadar sewaan bulanan terendah RM10 (bagi petak-petak penjaja di pasar) menjadi hanya RM5,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, dengan pemberian diskaun atau potongan 50 peratus ini, kesemua PBT di negeri ini mengorbankan hasil kutipan bulanan kira-kira RM1.3 juta atau kira-kira RM5.2 juta untuk selama empat bulan itu.
“Inilah pengorbanan besar yang dilakukan oleh PBT-PBT dan adalah diharapkan, para penyewa, peniaga dan penjaja terlibat dapat turut menghargainya.
“Kerajaan Pahang juga berharap, pemberian diskaun atau potongan sehingga 50 peratus ini dapat sedikit-sebanyak melegakan mereka,” katanya.-PAHANGMEDIA