Gambar hiasan

ORANG ASLI DI PAHANG PALING RAMAI DIVAKSIN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 15 JULAI 2021 : Orang Asli di Pahang paling ramai menerima suntikan vaksin COVID-19 berbanding negeri lain di Semenanjung dengan jumlah keseluruhan seramai 6,874 orang, sehingga 13 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Johari Alwi berkata, jumlah itu adalah kira-kira 32 peratus daripada keseluruhan 54,164 orang yang layak divaksin.

“Seramai 5,669 telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 manakala seramai 1,205 pula telah lengkap kedua-dua dos mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Jumlah penerima vaksin di kalangan Orang Asli ini bertambah sebanyak 1,982 orang daripada 4,892 orang seperti yang telah dilaporkan oleh Pahang Media bertarikh 8 Julai, baru-baru ini.

Encik Johari berkata, kejayaan luar jangka ini adalah hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak terutama Kerajaan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan beberapa agensi lain.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Johari Alwi.

Dalam pada itu, beliau berkata, JAKOA Negeri Pahang telah menerima pendaftaran sebagai penerima vaksin COVID-19 seramai 31,825 setakat ini.

Daripada jumlah keseluruhan 54,164 Orang Asli yang layak menerima suntikan vaksin, seramai 28,318 terdiri daripada mereka yang berusia di antara 30 hingga 60 tahun.

Manakala penduduk Orang Asli yang berusia 18 hingga 29 tahun pula seramai 20,643 orang diikuti seramai 5,203 orang berusia 61 tahun dan ke atas. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download