KUANTAN, 14 JULAI 2021: Kerajaan Pahang telah menghantar 11,800 kotak mengandungi 141,600 botol air minuman bagi membantu penduduk yang terjejas bekalan air di Keratong, Ibam dan Muadzam Shah, Rompin sejak 7 Julai lalu.

Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dalam satu kenyataan media hari ini menjelaskan, setiap botol berkandungan 1.5 liter (212,400 liter air minuman) dihantar untuk diagih-agihkan bagi kegunaan penduduk terbabit selain tambahan lagi 150 botol berkandungan 10 liter setiap botol.

Menurut kenyataan itu, penghantaran dibuat menerusi lori-lori dan lori panjang milik Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Rompin (MDR) dan swasta serta disalurkan kepada Ahli Dewan Negeri kawasan-kawasan Ibam dan Muadzam Shah untuk agihan kepada penduduk terlibat.

Kenyataan itu juga menyebut, atas sikap mengambil berat Kerajaan Negeri terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk terbabit juga, 195 tangki air statik telah ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu manakala air dibekalkan menerusi lebih 20 lori tangki.
“Atas sikap yang sama juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, telah berkenan bercemar duli berangkat ke kawasan terjejas pagi semalam,” jelas kenyataan itu.-PAHANGMEDIA