KUANTAN, 14 JULAI 2021: Keadaan banjir di Raub kini beransur pulih apabila seramai 182 daripada 265 mangsa sudah pun dibenarkan pulang ke kediaman masing masing.
Berdasarkan maklumat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, sehingga jam 8 pagi ini seramai 83 mangsa daripada 23 keluarga masih lagi ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

PPS SK Ulu Sungai menempatkan seramai 37 mangsa daripada sembilan keluarga; PPS Ulu Atok pula menempatkan 24 mangsa daripada enam keluarga, manakala PPS Masjid Jamek Semantan Ulu menempatkan 16 mangsa daripada lima keluarga dan PPS Balairaya Kampung Gesing menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga.
Kejadian banjir di daerah Raub ini bermula 12 Julai lalu apabila paras air sungai naik mendadak akibat hujan lebat yang berlaku pada sebelah petang 11 Julai lalu.
Petang semalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menziarahi serta memberikan kurnia sumbangan kepada mangsa banjir.-PAHANGMEDIA