KUANTAN, 14 JULAI 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhamad bersama Setiausaha Agung MCA, Dato’ Chong Sin Woon di pejabat beliau di Wisma Sri Pahang, petang semalam menyatakan ketegasan secara konsisten oleh Kerajaan Negeri dalam kerja-kerja penguatkuasaan pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.
Beliau berkata, penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa mengira kaum mahu pun kawasan atau daerah ia berlaku.
“Pada kunjungan hormat ini, perkara tentang kerja-kerja penguatkuasaan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam khususnya membabitkan kawasan seluas 101.17 hektar (250 ekar) meliputi kebun haram durian Musang King, telah dibangkitkan.
“Susulan itu, saya telah menyatakan ketegasan secara konsisten oleh Kerajaan Negeri, dalam kerja-kerja penguatkuasaan yang dilakukan tanpa mengira kaum mahu pun kawasan atau daerah ia berlaku ke atas pencerobohan tanah secara haram di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan media malam tadi.
Dalam pada itu beliau menerima permintaan daripada Dato’ Chong Sin Woon agar pekebun-pekebun haram terbabit dibenarkan memasuki kawasan operasi untuk mendapatkan semula barangan milik mereka yang tertinggal di dalamnya.
“Kepada permintaan ini, saya telah meminta Dato’ Chong mendapatkan sendiri kebenaran untuk pekebun terbabit berbuat demikian daripada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” katanya.-PAHANGMEDIA