Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram menyampaikan kita bantuan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara.

KERAJAAN PAHANG PERUNTUKAN KIRA-KIRA RM13,000 ‘DUIT SABUN’ KEPADA MANGSA BANJIR RAUB

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 13 JULAI 2021 : Kerajaan Pahang memperuntukkan kira-kira RM13,000 sebagai ‘duit sabun’ kepada penduduk di beberapa kawasan terjejas banjir di daerah Raub.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata wang berkenaan diberikan sebagai bantuan untuk membersihkan rumah mangsa yang terjejas banjir.

“Saya mewakili Kerajaan Pahang, turut menyampaikan sumbangan wang pendahuluan ‘duit sabun’ kepada kira-kira 63 Ketua Isi Rumah (KIR) di tujuh buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dibuka.

“Kita panggil sumbangan wang ini sebagai ‘duit sabun’ kerana kita beri untuk mereka gunakan bagi mencuci rumah mereka yang terjejas dengan banjir ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata selain ‘duit sabun’, pihaknya juga turut memberikan bantuan lain berupa barang makanan dan juga barang keperluan peribadi kepada mangsa.

“Kita melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memberikan mereka barang keperluan peribadi seperti toto, kain batik dan kain pelikat, tuala, kelengkapan diri, bantal dan selimut selain makanan.

“Kita juga menerima kit makanan yang dihulurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada mangsa banjir ini. Dan mereka di PPS juga diberikan makan dalam bentuk bungkusan bagi memastikan SOP (prosedur operasi standard) ketika pandemik ini dipatuhi,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat malam ini sebahagian daripada 241 mangsa yang ditempatkan di PPS terlibat telah pun pulang ke rumah masing-masing.

“Saya dimaklumkan, sebahagian dari mangsa terlibat telah pun pulang ke rumah masing-masing apabila air telah surut bagi tujuan mencuci rumah mereka.

“Tetapi kalau kita lihat, cuaca di sini (Raub) masih lagi hujan dan kemungkinan boleh banjir balik dan kita dah ingatkan mangsa supaya kembali semula ke PPS jika keadaan dilihat membimbangkan,” katanya.

Banjir di Raub yang berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dengan 241 mangsa daripada 63 keluarga dipindahkan ke PPS sekitar daerah berkenaan setakat 8 pagi tadi.

PPS terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Kundang Patah iaitu 114 orang daripada 30 keluarga, Dewan Serbaguna Kampung Pia sebanyak 58 orang dari 16 keluarga dan Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai, 37 mangsa dari sembilan keluarga, Masjid Kampung Kuala Semantan pula menempatkan 16 mangsa daripada lima keluarga, Balai Raya Kampung Gesing, Balai Raya Kampung Sengkela dan Dewan Orang Ramai Kampung Chenua pula menempatkan sebuah keluarga dengan jumlah mangsa 16 orang. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download