Gambar hiasan

COVID-19 : 30 KES DIRAWAT DI ICU, 17 MEMERLUKAN BANTUAN MESIN PERNAFASAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 13 JULAI 2021 : Terdapat 30 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di dua buah hospital di negeri ini setakat hari ini dengan 17 kes daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kesemua mereka dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 2,185 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan buah hospital di negeri Pahang dan tujuh buah Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) iaitu PKRC UMP, PKRC iKPKT, PKRC ILKKM, Hotel Seri Malaysia, KUIPSAS, Hospital Jengka dan PKRC SUKPA. Manakala 277 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 30 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 19 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 11 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 17 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 266 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 55 kes merupakan warganegara asing.

“Sebanyak 317 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, empat (4) kes import (1 dari Kuala Lumpur, 3 dari Selangor).

“Terdapat 136 kes diperolehi daripada saringan kluster, 130 saringan kontak rapat, 18 saringan bergejala, 33 saringan bersasar, dua (2) saringan pra pekerjaan, satu (1) saringan pra kemasukan dan satu (1) saringan pengembara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat 10 daerah mencatatkan pertambahan kes disahkan positif COVID-19 hari ini.

“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (173 kes), diikuti Bentong (63 kes), Temerloh (27 kes), Maran (18 kes), Lipis (14 kes), Rompin (9 kes), Cameron Highlands (6 kes), Raub (4 kes), Pekan (4 kes) dan Bera (3 kes),” katanya.

Sebanyak 321 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 16,783 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download