Oleh: Mahathir Ali dan Fairus Mohd
ROMPIN, 13 JULAI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Keratong di Rompin yang tidak dapat beroperasi berikutan kejadian pencemaran sumber air mentah telah berlaku di Sungai Pukin.
Baginda yang diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kemudiannya mendengar taklimat dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkenaan keadaan air sungai berkenaan.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pegawai Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Ahmad Sidek.
Sementara itu, kesudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bercemar duli melawat rakyat terkesan di Rompin membuktikan sisi keprihatinan baginda yang sangat tinggi.
Tuan Ahmad Nasim berkata, baginda mengambil maklum berkenaan isu pencemaran sungai (Sungai Pukin) yang berlaku sehingga menjejaskan kehidupan berbelas ribu penduduk di kawasan berkaitan.
“Pihak pengurusan Pejabat Tanah dan Daerah Rompin serta Majlis Daerah Rompin amat berbesar hati dengan kesudian tuanku mencemar duli ke sini untuk melihat sendiri situasi sebenar yang berlaku.
“Keprihatinan baginda turut jelas dilihat apabila turut menziarahi penduduk golongan asnaf di Kampung Rekoh, Keratong bagi menyampaikan sumbangan sekaligus meringankan beban kehidupan mereka,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak Kerajaan Negeri berusaha sebaik mungkin bagi mengurangkan ketidakselesaan penduduk terlibat menghadapi kesan pencemaran yang berlaku.

“Kita faham dengan situasi yang berlaku, ada penduduk yang mengadu sudah berhari-hari tidak menerima bekalan air. Situasi (pencemaran) ini adalah serius dan memerlukan tempoh masa yang lebih lama untuk dipulihkan.
“Kerajaan Negeri melalui PAIP sedang berusaha menghantar bekalan air bersih kepada semua penduduk yang terlibat secara keseluruhan,” katanya.
Menurut beliau lagi, pihaknya turut menerima bantuan daripada syarikat bekalan air negeri lain seperti Syarikat Air Johor, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) . – PAHANGMEDIA