PELUANG PKS PAHANG MENINGKAT DAYA SAING DENGAN PENGGUNAAN IOT MELALUI PROGRAM PENJANA MYRESKILL IOT

KUANTAN, 13 JULAI 2021: Internet of Things (IoT) memainkan peranan penting dalam pengembangan Industri 4.0 dengan kemampuannya menghubungkan peranti fizikal ke platform digital terutamanya semasa pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan telah memperkenalkan program PENJANA melalui Program Latihan Upskilling & Reskilling (MyReskill IoT) yang akan dilaksanakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Pahang Skills kepada syarikat PKS di negara ini termasuk di Negeri Pahang.

Beliau berkata, program ini akan dapat membantu industri tempatan terutama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengadaptasi teknologi industri 4.0 dalam organisasi masing-masing.

“Program ini untuk membantu peniaga PKS mentransformasikan perniagaan mereka ke arah digital dengan lebih cepat lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

“Dengan penggunaan IoT, ia akan membantu syarikat meningkatkan sistem dan proses perniagaan mereka, meningkatkan kecekapan, dan bahkan membuka ruang untuk produk, perkhidmatan, dan juga model perniagaan baru dicipta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak syarikat yang terpilih akan diberikan peralatan IoT secara percuma dan akan dibimbing untuk menggunakan teknologi ini bagi meningkatkan keupayaan mereka.

Menurutnya, Pahang Skills merupakan Pusat Teknologi akan berkerjasama dengan MPC Wilayah Pantai Timur dalam melaksanakan program ini dengan mengendalikan kursus dan memberi bimbingan kepada syarikat PKS terbabit.

Beliau menyeru kepada syarikat PKS diseluruh Negeri Pahang untuk mengambil peluang ini dengan mendaftar segera program ini dan komitmen yang tinggi syarikat amat diperlukan bagi menjayakan program ini.

“Bagi syarikat PKS di Negeri Pahang yang ingin mengikuti program ini, mereka boleh menghubungi Pahang Skills, Encik Rashdan Abdul Manaf, emel: rashdan@pahangskills.gov.my, ditalian 09 5673200 atau 012 9387771 atau boleh juga menghubungi Pejabat MPC Wilayah Pantai Timur, En Mohd Azhar Zainuddin di emel mohdazhar@mpc.gov.my di talian 09-5131788,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download