Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 13 JULAI 2021: Pengagihan Bantuan Prihatin Pahang (BBP) dapat membantu meringankan beban rakyat Pahang khususnya Daerah Jerantut yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, dengan bantuan ini pasti memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan wabak berkenaan dan sekatan pergerakan.
“Agihan BBP di daerah jerantut berjalan seperti yang dijadualkan adalah hasil daripada kebijaksanaan YAB Menteri Besar Pahang sendiri yang mencadangkan supaya barangan sumbangan diambil daripada pengedar di dalam daerah ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang hari ini.
Beliau yang juga Ahli Undangan Negeri Pulau Tawar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang atas pelbagai bantuan dan sumbangan yang diperuntukkan untuk membantu meringankan beban rakyat di Dewan Negeri Pulau Tawar.
Semalam seramai 91 orang Imam, Bilal Dan Siak Rawatib Guru Kafa, Guru Tahfiz Madrasah dan Pondok Berdaftar Daerah Jerantut menerima sumbangan RM250 secara pandu lalu di Masjid Tengku Abdullah di Jerantut.
Dalam pada itu, beliau berkata, dijangkakan agihan BPP di Daerah Jerantut akan selesai selepas Hari Raya Aidiladha selain itu sumbangan tajaan jubah buat imam masjid juga akan dimulakan mulai minggu ini.
Dalam pada itu, beliau melihat perlunya bantuan diberikan kepada golongan generasi baharu FELDA yang dilihat turut terkesan dengan kehilangan pekerjaan di musim pendemik COVID-19 yang sedang melanda negara kini. – PAHANGMEDIA