Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 12 JULAI 2021: Yayasan Pahang melalui Kelab Keluarga Yayasan Pahang (KKYP) memberikan petrol percuma kepada penunggang khidmat penghantaran selama lima hari bermula hari ini.
Yang DiPertua KKYP, Encik Onn Abdul Rani berkata ini merupakan satu inisiatif pihaknya bagi meringankan sedikit sebanyak beban kewangan penunggang khidmat penghantaran ini.

“Kita mengambil kira riders ini mengalami kesulitan, jadi kita buat keputusan ringankan sedikit sebanyak dengan beri petrol percuma.
“KKYP mengangap semua penunggang khidmat penghantaran adalah ‘unsung hero’ sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Petronas Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata pemberian petrol percuma ini diberikan kepada semua penunggang motosikal bagi khidmat penghantaran tanpa mengira syarikat yang terlibat.
“Para penunggang yang terlibat hanya perlu hadir di pam minyak yang ditentukan dan terus mengisi minyak tanpa perlu mengisi borang, mendaftar atau lain-lain birokrasi.
“Dijangka seramai kira-kira 200 orang akan menerima manfaat dan jumlah ini dijangka akan meningkat bergantung kepada sumbangan daripada warga kerja YP dari semasa ke semasa.
“Dan setakat kira-kira dua jam pemberian petrol ini dijalankan, kami telah menerima hampir 100 penunggang khidmat penghantaran dan ia melebihi sasaran harian kami,” katanya.
Sementara itu, penunggang khidmat penghantaran dari FoodPanda, Ubaidah Abdul Manaf, 22, melahirkan perasaan gembira kerana mendapat petrol percuma yang disifatkan perkara yang jarang berlaku.
“Terima kasih banyak Yayasan Pahang beri minyak percuma. Saya rasa gembira kerana ini merupakan perkara yang jarang sekali berlaku,” katanya yang tahu mengenai program ini daripada ketua kumpulannya.

Manakala penunggang khidmat penghantaran makanan McDonald Delivery, Amirudin Abdullah, 28, berkata dia tidak tahu mengenai program ini dan menganggap ini adalah rezeki.
“Saya tidak tahu ada program ini, memang datang ke sini (Petronas Tanjung Lumpur) untuk isi minyak tapi ada orang panggil suruh isi di pam ini dan bagitahu ia percuma. Terima kasih banyak-banyak kepada Yayasan Pahang untuk minyak ini,” katanya.
Seorang lagi, penunggang khidmat penghantaran daripada Tapaw.com, Rusli Endut, 44, turut melahirkan rasa terima kasih kepada pihak Yayasan Pahang yang sudi memberikan petrol percuma kepada mereka.
Selain pemberian petrol percuma yang julung kali diadakan ini, KKYP juga mengadakan pemberian bantuan makanan percuma sejak dua minggu lepas dengan menerima sumbangan kira-kira RM13,000 daripada ahlinya. -PAHANGMEDIA