Keadaan tebing kolam takungan sebuah kilang memproses sawit di Ulu Keratong yang runtuh sehingga menyebabkan sisa dari kolam tersebut mengalir ke alur sungai sudah pun dibaiki.

LOJI RAWATAN AIR KERATONG DIHENTI TUGAS AKIBAT PENCEMARAN SUMBER AIR MENTAH

KUANTAN, 11 JULAI 2021: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ingin memaklumkan bahawa kejadian pencemaran sumber air mentah telah berlaku di Sungai Pukin di Rompin baru-baru ini telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Keratong tidak dapat beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, pencemaran tersebut dipercayai berpunca daripada kolam takungan di sebuah kilang memproses sawit berhampiran di Ulu Keratong, runtuh berikutan hujan lebat dan menyebabkan sisa dari kolam takungan tersebut mengalir ke alur sungai.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari

Beliau berkata, kejadian tersebut telah menyebabkan sebanyak 11,500 akaun pengguna PAIP di kawasan sekitar Keratong mengalami gangguan dan putus bekalan air.

Menurutnya, dalam melaksanakan kerja-kerja permulihan, PAIP telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan bantuan penghantaran air bersih kepada pengguna secara berperingkat.

“Sebanyak 28 buah lori tangki air telah digerakkan dan 300 buah tangki statik telah ditempatkan di kawasan yang terjejas.

“Tindakan ini adalah untuk membantu pengguna yang terjejas menerima bekalan air bersih disepanjang tempoh gangguan yang berlaku,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau juga berkata, PAIP ingin menasihati orangramai supaya menggunakan air dengan secara berhemah dan menjaga kelestarian sumber air dengan tidak mencemarkan saliran dengan bahan buangan seperti sisa pepejal, kumbahan dan sebagainya dengan memastikan semua air sisa itu dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sungai.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download