Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 10 JULAI 2021: Sebahagian penduduk Orang Asli Kampung Bendaling di Chini yang sebelum ini enggan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 mengubah fikiran hari ini setelah Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak sendiri turun padang bertemu dan memujuk mereka.
YB Dato’ Sri Najib yang dalam rangka lawatan kerja sejak semalam untuk membantu rakyat terkesan di Pekan mengambil keputusan bagi bertemu sendiri dengan mereka selepas mendapat maklumat ada di antara penduduk di situ yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 akibat pemahaman yang salah.

Beliau berjaya memujuk mereka dengan menyampaikan maklumat tepat berkenaan program vaksinasi dan kesan bahaya sekiranya mereka tidak mengambil suntikan tersebut.
Sementara itu, YB Dato’ Sri Najib juga menzahirkan ucapan terima kasih dan amat menghargai segala usaha berterusan dilakukan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang bertindak segera membantu rakyat Pahang yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

Katanya, tindakan YAB Menteri Besar menyediakan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sehingga tiga kali sejak Mei lalu dengan peruntukan melebihi RM23 juta adalah sesuatu yang amat wajar.
“Ini membuktikan Kerajaan Pahang menggunakan hasil keuntungan pendapatan Kerajaan Negeri untuk disalurkan semula kepada rakyat.
“Ianya merupakan satu usaha yang amat murni dan tepat demi memastikan lebih ramai rakyat Pahang yang terkesan akan mendapat pembelaan,” katanya. – PAHANGMEDIA