COVID-19 : DUA KLUSTER BAHARU DI KUANTAN, 40 POSITIF

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 08 JULAI 2021 : Dua kluster baharu dilaporkan hari ini di Pahang melibatkan daerah Kuantan dengan 40 individu disahkan positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata dua kluster baharu berkenaan ialah Kluster Jalan Tanah Putih dan Kluster Jalan Gebeng 1/11.

“Kluster Jalan Tanah Putih bermula dengan satu kes yang positif pada 3 Julai 2021 di daerah Kuantan. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja iaitu sebuah pasar raya di Jalan Tanah Putih.

Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang bekerja di pasar raya tersebut. Kes telah menjalani saringan PCR kerana bergejala. Kes mula demam pada 23 Jun 2021. Kes disahkan positif swab PCR pada 3 Julai 2021. Seramai 149 individu telah disaring dan 25 kes dikesan positif COVID-19.

“Kluster Jalan Gebeng 1/11 bermula dengan satu kes yang dilaporkan pada 3 Julai 2021 di daerah Kuantan. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja iaitu di Kawasan Industri Gebeng.

Kes indeks bagi kluster merupakan seorang warganegara Malaysia yang bekerja di sebuah kilang di lokasi berkenaan. Hasil siasatan mendapati seramai 15 orang rakan sekerja dan ahli keluarga juga positif COVID-19. Penularan disyaki berlaku di tempat kerja kerana berkongsi ruang kerja yang sama. Penularan juga telah berlaku dalam kalangan ahli keluarga. Seramai 91 individu telah disaring dalam kluster ini dan 15 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

Menurut beliau, terdapat lapan kluster aktif mencatatkan pertambahan kes positif sebanyak 64 kes hari ini.

“…iaitu Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 30 kes dengan jumlah keseluruhan 795 kes), Kluster Industri Benus (pertambahan 13 kes dengan jumlah keseluruhan 205 kes),Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 9 kes dengan jumlah keseluruhan 495 kes),Kluster KM 22 Jalan Gambang (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 22 kes).

“Kluster Lorong Empat Jerantut (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 103 kes), Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 270 kes), Kluster Jerantut Feri (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 9 kes) dan Kluster Meranti Indah (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 23 kes),” katanya.

Beliau berkata sebanyak 152 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 15,387 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download