Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 8 JULAI 2021: Penubuhan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) pada tahun lalu menjadi platform tepat dalam mencungkil dan menyerlahkan kualiti dalam diri ramai belia.
Naib Pengerusi 1 MTSP, Encik Mohd Farid Mohd Nor berkata, peranan utama MTSP adalah untuk mencungkil dan melatih seramai mungkin bakat kepimpinan muda di kalangan belia.
“Selama kita beraktiviti, berprogram dan terlibat dalam keusahawanan ini kita mengenalpasti mereka yang mungkin selama ini kita tidak jumpa dalam mana-mana NGO, pertubuhan parti politik sekalipun.
“Mereka ini yang sebenarnya memiliki kemampuan, kebolehan serta bakat-bakat tertentu contohnya audio visual yang melancarkan temubual kita pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bicara Pahang bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Sementara itu, beliau berkata dalam keadaan pandemik ini MTSP lebih banyak dilihat dalam program keusahawanan.
“Itulah peranan dominan kami dalam keadaan sekarang, tapi bagi yang selalu ikuti MTSP di FB Jun hingga Disember tahun lalu, mereka dapat lihat kita telah berjaya adakan beberapa program latihan dan ekonomi dengan kerjasama syarikat automotif dan robotik.
“Kita juga cakna dengan minat anak muda dalam e-sport di mana kita telah melaksanakan latihan di empat buah daerah iaitu di Raub, Temerloh, Pekan dan Bera selama 14 hari tentang bagaimana e-sport mampu jana pendapatan,” katanya. – PAHANGMEDIA