Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 6 JULAI 2021: Seramai 18 pekebun durian haram yang direman sebelum ini kerana memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam tanpa kebenaran dan membuat provokasi melampau kepada anggota Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan didakwa di mahkamah secepat mungkin.
Pengarah JPNP, YH. Dato’ Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya akan berusaha menyegerakan pendakwaan mahkamah terhadap 18 pekebun terbabit bagi memastikan tindakan dapat diambil secepat mungkin.
“Kita telah lepaskan secara jaminan polis hari ini dan kita akan cuba mempercepatkan proses dakwa di mahkamah. Pendakwaan kita percepatkanlah. Sebab kita sedang bertungkus lumus ini, sebab 18 orang ini,” beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Semalam, seramai 18 pekebun durian haram telah direman kerana memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub tanpa kebenaran dan membuat provokasi melampau terhadap anggota JPNP dalam operasi memusnah kebun haram yang sedang dijalankan.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub bagi menjaga ketenteraman awam di daerah berkenaan berikut kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa, semalam.
Ketua Polis Negara, YH Dato’ Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan agar menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa.
Beliau berkata, isu mengenai pencerobohan oleh pekebun durian itu adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.
Pihak PGA adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas dan PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas. – PAHANGMEDIA