Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 5 JULAI 2021: Sebuah kilang di kawasan perindustrian Gebeng di sini dikenakan tindakan tegas termasuk penutupan dua bahagian kilang berkenaan selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tindakan berkenaan adalah hasil pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa selepas masih lagi berlaku pelanggaran SOP di dalam kawasan kilang berkenaan.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Saiful Bahtiar Ibrahim, pemantauan bersepadu yang dibuat adalah berdasarkan laporan yang diterima selepas sebanyak 93 kes positif COVID-19 telah dikesan hasil daripada saringan yang dibuat di kilang berkenaan.
“Kawalan yang lebih ketat akan dilaksnaakan kerana hasil daripada pemantauan yang dibuat mendapati masih terdapat pergerakan secara bebas di dalam kalangan pekerja di dalam kawasan tersebut walaupun tempat tersebut telah dikuarantin,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan turut mengeluarkan notis penutupan dua bahagian kilang tersebut bermula petang ini kerana didapati tiga orang pekerja positif COVID-19.
Dua kompaun juga dikeluarkan berjumlah RM3,000 kepada dua pekerja kilang yang tidak mematuhi penjarakan fizikal semasa membeli barangan keperluan sewaktu pemantauan dibuat.
Operasi Pemantauan Pengoperasian Kilang ini diketuai oleh Unit Antarabangsa , Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan yang lain. PAHANGMEDIA