Pekebun haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam tidak dibenarkan memasuki kawasan hutan itu untuk mengambil barang.

OPERASI PENGUATKUASAAN HSK: UMMAH RAUB SOKONG KETEGASAN YAB MB, KERAJAAN PAHANG

KUANTAN, 5 JULAI 2021: Gerakan Pembela Ummah Raub (UMMAH Raub) menyatakan sokongan terhadap YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Pahang atas ketegasan dalam menguatkuasakan isu pencerobohan tanah haram di negeri ini khususnya di daerah Raub.

Ketuanya, Mohd Shahrizan MD Esa berkata, NGO itu juga turut menyatakan sokongan terhadap tindakan penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JKNP) bersama pasukan Polis di kawasan Hutan Simpan Kekal di Batu Talam, Raub bagi memusnahkan tanaman durian secara haram.

“Semalam telah tular beberapa rakaman video dan foto yang memaparkan provokasi yang
melampau oleh pengusaha kebun haram terhadap pasukan penguatkuasa yang sedang melaksanakan tindakan penguatkuasaan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Batu Talam dengan keluasan yang dianggarkan sekitar 250 ekar.

“Justeru, UMMAH Raub menyokong penuh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan
Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri Pahang di atas ketegasan ini dan mengharapkan isu
pencerobohan tanah haram di negeri Pahang ini dapat diselesaikan dengan kadar segera
khususnya bagi daerah Raub,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau juga berkata, UMMAH Raub turut mengharapkan agar Kerajaan Pahang terus konsisten di atas ketegasan ini dan tidak berganjak ke belakang atas segala tekanan dan provokasi melampau pihak berkaitan.

Dalam pada itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam satu kenyataan media lewat malam tadi memaklumkan 18 individu telah ditahan kerana memasuki kawasan HSK tanpa kebenaran dan membuat provokasi melampau terhadap anggotanya yang sedang melaksanakan operasi memusnahkan kebun haram durian di sekitar daerah Raub.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download