Ketua Polis Daerah Lipis Suprintendan Azli Mohd Noor memberikan nasihat kepada individu yang dikompaun kerana gagal mematuhi SOP pada Op Patuh di Lipis.

20 INDIVIDU DIKOMPAUN RM40,000 LANGGAR SOP

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 4 JULAI 2021 : Seramai 20 individu dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada Operasi Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (Op Patuh) bagi Daerah Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Azli Mohd Noor berkata, pada operasi itu sebanyak dua premis turut dikenakan kompaun kerana tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen penjaja.

“Sepanjang operasi dijalankan didapati ada segelintir pekerja dan pelanggan yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Seramai 20 pekerja dan pelanggan telah dikompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Majlis Daerah Lipis (MDL) juga mengeluarkan kompaun kepada dua premis kerana tiada lesen perniagaan dan lesen penjaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.

Supritendan Azli berkata, antara kesalahan yang dilakukan oleh individu-individu terbabit adalah tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas kod menerusi aplikasi MySejahtera atau tidak mendaftar di dalam buku yang disediakan, tiada penjarakan fizikal antara pekerja dan nama pekerja tiada dalam senarai MITI.

Op Patuh ini melibatkan pemeriksaan sebanyak 17 premis termasuk kilang serta 95 individu di kawasan Benta, Padang Tengku, tapak pembinaan Lebuhraya CSR di Simpang Gua dan Kampung Selindang serta beberapa premis di Chegar Perah. – PAHANG MEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download