COVID-19 : SATU KLUSTER BAHARU DI TEMERLOH, 15 POSITIF

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 03 JULAI 2021 : Terdapat satu kluster baharu dilaporkan pada hari ini iaitu Kluster Jalan Songsang, Temerloh dengan 15 individu disahkan positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, kluster ini mula dilaporkan pada 3 Julai 2021 di daerah Temerloh.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah.

“Nama kluster merujuk kepada alamat premis iaitu di Jalan Perindustrian Songsang di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja tersebut.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah menjalani ujian RT-PCR di sebuah klinik pada 28 Mei 2021 kerana terdapat seorang pelanggan disahkan positif Covid-19. Ujian RT-PCR tersebut dilaporkan positif pada 30 Mei 2021.

“Hasil saringan kontak rapat seterusnya mendapati seramai 10 lagi individu dikesan positif COVID-19 melibatkan kontak tempat kerja dan kontak keluarga. Seramai 114 individu telah disaring dalam kluster ini dan 15 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,846 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan empat Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini manakala 217 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 29 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 20 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 9 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 18 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Beliau berkata semua daerah di negeri ini mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 hari ini.

“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (100 kes), diikuti Temerloh (33 kes), Jerantut (30 kes), Maran (12 kes), Bentong (8 kes), Raub (6 kes), Rompin (3 kes), Cameron Highlands (3 kes), Pekan (2 kes), Lipis (2 kes) dan Bera (1 kes),” katanya.

Sebanyak 200 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 14,390 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download