COVID-19 : EMPAT KEMATIAN BAHARU HARI INI, DUA LIBATKAN KLUSTER RANTAU KENANGA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 02 JULAI 2021: Empat kes kematian baharu direkodkan di negeri ini hari ini dengan dua daripadanya melibatkan Kluster Rantau Kenanga.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 137 kes.

YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah

“Kes ke-134 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 59 tahun dari Taman Seri Inderapura, Kuantan.

“Kes ke-135 merupakan seorang perempuan berbangsa Melayu berumur 55 tahun dari Perumahan Bukit Rangin Damai, Kuantan.

“Kes ke-136 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 24 tahun dari Taman Saga, Mentakab, Temerloh. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.

“Kes ke-137 merupakan seorang lelaki berumur 72 tahun dari Perumahan Awam Kos Rendah Bandar Baru, Jerantut. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.

Beliau berkata terdapat tujuh kluster aktif yang direkodkan di negeri ini mencatatkan pertambahan kes hari ini.

“Kluster Jalan Jaya (pertambahan 11 kes dengan jumlah keseluruhan 32 kes), Kluster Kampung Lada (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 38 kes), Kluster Lorong Empat (pertambahan 5 kes dengan jumlah keseluruhan 82 kes).

“Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 14 kes dengan jumlah keseluruhan 434 kes), Kluster Industri Benus (pertambahan 56 kes dengan jumlah keseluruhan 135 kes), Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 77 kes dengan jumlah keseluruhan 464 kes) dan Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 9 kes dengan jumlah keseluruhan 208 kes),” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 1,549 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan empat Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) manakala 205 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 32 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 22 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 10 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 19 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 223 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 106 kes merupakan warganegara asing direkodkan hari ini.

“Sebanyak 326 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan,dan tiga (3) jangkitan import (3 kes dari Selangor). Terdapat 173 kes diperolehi daripada saringan kluster, 118 saringan kontak rapat, 16 saringan bergejala, 22 saringan bersasar dan 1 saringan kemasukan ke wad,” katanya.

Sebanyak 329 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 14,190 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download