Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
KUANTAN, 02 JULAI 2021 : YAB Menteri Besar Pahang meminta mana-mana pihak yang terjejas tetapi masih tidak mendapat sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Pahang telah berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka yang terjejas di negeri ini sejak pandemik COVID-19 melanda.
“Dan kepada mereka yang sepatutnya dapat bantuan tapi tak dapat, kita minta mereka tampil ke hadapan, beritahu pemimpin-pemimpin setempat, wakil-wakil rakyat.
“Dan kita ada 1.7 juta penduduk di Negeri Pahang ini dan Kerajaan Negeri telah membuat sedaya upaya untuk membantu mereka yang terkesan di negeri ini.

“Tapi saya percaya atas kelemahan kita sebagai manusia ada yang kita terlepas atau tertinggal.Dan sekiranya ada, beritahu kita kerana memang tujuan kita untuk membantu rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Khas YAB Menteri Besar Pahang untuk Imam, Bilal, Siak Rawatib, Guru KAFA, Guru Tahfiz, Guru Madrasah dan Pondok Berdaftar dan Penyerahan 13 Buah Van Untuk 13 Buah Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang Darul Makmur di Maahad Tahfiz Yayasan Pahang, di sini, hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifli Haji Ali Al-Hafiz.
Menurut beliau lagi, sehingga kini Kerajaan Pahang telah mengumumkan tiga fasa bantuan kepada penduduk di negeri ini.
“Sehingga kini Kerajaan Negeri telah mengumumkan tiga fasa. Pertama lebih kurang RM7.8 juta , fasa kedua RM9.4 juta, dan fasa ketiga kita telah umumkan lagi RM6.3 juta. Ini semua kita beri kepada mereka yang terkesan,” katanya. -PAHANGMEDIA