Oleh : Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 01 JULAI 2021 : Pahang bakal miliki Bandar Aeroangkasa menjelang tahun 2026 dengan kewujudan sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa dan juga hub perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Pesawat (MRO) bertaraf dunia.
Projek berimpak tinggi serta menambah nilai Pahang ke arah negeri maju itu dijadualkan bermula tahun hadapan di kawasan seluas 5,042 hektar di Gebeng.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek dengan kos pembangunan berjumlah RM10.5 bilion itu akan dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) iaitu Pahang Corporation (PahangCorp).
“Ia akan melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara ke-3 (RFN ke-3) iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu di Gebeng, Kuantan.
“Pembinaannya juga turut mengambil kira faktor hub ekonomi yang lain kerana ia terletak berhampiran kawasan industri Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) selain menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur, ” katanya.
Beliau hadir menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang ditandatangani antara Kerajaan Negeri Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Pahang Corporation Sdn Bhd (Pahang Corp) di Wisma Pahang, hari ini.
Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang Pahang diwakili oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak manakala PahangCorp pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Mohd Khusaini Harumaini.
Dalam pada itu, beliau berkata Bandar Aeroangkasa tersebut akan menyediakan tapak perindustrian berkaitan penerbangan (Aviation Related Industries) yang mampu menarik minat syarikat-syarikat besar di dalam industri pembinaan pesawat dan komponen pesawat.
“Dengan pembukaan bandar ini kelak, Pahang dijangka memperoleh satu peratus atau RM150 bilion untuk tempoh 20 tahun atau RM7.5 bilion setahun daripada nilai pasaran MRO Asia Pasifik.
“Nilai pasaran MRO bagi kawasan Asia Pasifik untuk tempoh 20 tahun akan datang dianggarkan berjumlah RM15 trillion,” katanya.
Tambah beliau, kewujudan bandar Aeroangkasa itu juga turut akan menyediakan 50,000 peluang pekerjaan sama ada melibatkan sektor penerbangan atau bukan penerbangan.
“Saya berharap perancangan untuk mewujudkan Bandar Aeroangkasa Pahang ini akan menjadikan Pahang sebagai pilihan utama pelabur untuk melabur di negara ini berdasarkan kepada perkhidmatan yang disediakan nanti selain faktor geo-ekonomi yang strategik di Pantai Timur,” katanya. -PAHANGMEDIA