Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 30 JUN 2021: Kira-kira 90 peratus daripada 58,525 penduduk di kawasan Bandar Jerantut patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sejak perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris berkata, PKPD yang melibatkan sebanyak 11,795 rumah ini dikenakan ekoran jumlah kes harian yang tinggi membabitkan lokaliti terbabit.

“Bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut telah melaksanakan saringan bersasar di kawasan PKPD secara berperingkat.
“Kesihatan, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi prioriti, justeru saringan bersasar ini dilaksanakan secara berperingkat menggunakan beberapa kaedah termasuklah pandu lalu,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Beliau berkata, saringan bersasar ini akan dilaksanakan bermula Selasa lalu hingga 9 Julai depan bertempat di Terminal Bas Bandar Baru, di Jerantut bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang.
“Sehingga hari ini, seramai 1,022 penduduk daripada lokaliti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bandar Baru dan PAKR Mat Kilau, Kampung Mat Kilau dan Kampung Melayu telah membuat saringan berkenaan,” katanya.
Katanya, PKOB juga sentiasa berusaha agar akses terhadap fasiliti dan kemudahan di kawasan PKPD dapat menampung segala keperluan penduduk termasuklah fasiliti kesihatan, pasaraya dan stesen minyak.
Puan Khairun Nissa berkata, pasukan polis bersama pasukan sahabat juga akan meneruskan sekatan jalan raya dan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi oleh semua pihak.
Beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam mengawal penularan wabak COVID-19 di lokaliti Bandar Jerantut yang telah bermula 28 Jun sehingga 11 Julai depan.
“Pada esok, saringan bersasar akan melibatkan sebanyak 630 rumah di PAKR 3/4, Taman Embun Jaya dan Taman Sri Jaya,” katanya.
Daerah Jerantut mencatatkan sebanyak 35 kes baharu pada hari ini melibatkan Kluster Lorong Empat dan Kluster Kampung Lada. – PAHANGMEDIA