Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 JUN 2021 : Satu kluster baharu di daerah Bera dengan 16 individu positif COVID-19 dilaporkan di Pahang hari ini.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kluster baharu berkenaan dikenali sebagai Kluster Meranti Indah.

“Kluster ini mula dilaporkan pada 30 Jun 2021 di daerah Bera. Nama kluster merujuk kepada lokaliti rumah kes indeks di Kampung Kuala Triang yang disyaki telah berlakunya penularan wabak dalam kalangan ahli keluarga seterusnya merebak ke tempat kerja salah seorang dari ahli keluarga tersebut.
“Kes indeks merupakan seorang warganegara Malaysia telah disahkan positif COVID-19 pada 26 Jun 2021. Kluster ini bermula apabila kes indeks dan ahli keluarga membuat saringan bergejala di klinik kesihatan pada 23 Jun 2021. Seramai 44 individu telah disaring dalam kluster ini dan 16 individu telah didapati positif COVID-19,” katanya.
Beliau berkata terdapat lapan kluster aktif mencatatkan pertambahan sebanyak 135 kes baharu hari ini.
“Kluster Kailan Tringkap (pertambahan 4 kes dengan jumlah keseluruhan 38 kes), Kluster Jalan Jaya Temerloh (pertambahan 5 kes dengan jumlah keseluruhan 21 kes), Kluster Lorong Empat, Jerantut (pertambahan 9 kes dengan jumlah keseluruhan 67 kes), Kluster Industri Benus (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 79 kes).
“Kluster Kampung Lada (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 33 kes), Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 18 kes dengan jumlah keseluruhan 403 kes), Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 68 kes dengan jumlah keseluruhan 321 kes) dan Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 17 kes dengan jumlah keseluruhan 189 kes),” katanya.
Menurut beliau sebanyak lapan daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran dan Temerloh, manakala tiga daerah iaitu Raub, Rompin dan Pekan berada dalam zon kuning.
Sebanyak 210 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 13,666 kes. -PAHANGMEDIA