Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 29 JUN 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatiuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menanam pokok-pokok hutan di kawasan Tasik Chini, hari ini.

Lawatan KDYMM Tuanku itu adalah rentetan daripada Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang menyarankan agar kawasan bekas lombong di tanam dengan pokok-pokok hutan yang bersesuaian.

Sejurus selesai menanam pokok, KDYMM Tuanku juga berkenan melawat Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) yang dikendalikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Baginda diberi persembahan taklimat khas oleh Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan turut meninjau inisiatif PPTC UKM untuk bersama-sama membantu Kerajaan Negeri memelihara dan memulihara Tasik Chini.
Hadir sama mengiringi KDYMM Tuanku ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ahli Dewan Negeri Chini, YB Encik Mohd Sharim Md Zin; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Hizamri Mohd Yasin; Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkifli; Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Pahang, YBhg. Tuan Haji Nurul Huda Romli; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, YBhg. Tuan Haji Mohd Sani Mat Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Orang Asli Gumum dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Orang Asli Gumum, Puan Nashita Dewi K. Paramanantham.
KDYMM kemudiannya berkenan untuk menziarahi golongan asnaf di sekitar Chini yang terdiri daripada ibu tunggal, balu, warga emas serta masyarakat Orang Asli.-PAHANGMEDIA