Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 JUN 2021 : Dua kes kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan hari ini di negeri ini melibatkan Kluster Rantau Kenanga.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 128 kes.
“Kes ke-127 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 59 tahun dari Kg Teluk Sentang, Sanggang, Temerloh. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
“Kes ke-128 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 76 tahun dari FELDA Jengka 9, Jerantut. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.
Beliau berkata terdapat enam kluster aktif mencatatkan pertambahan kes di negeri ini hari ini, selain itu sebanyak 1,183 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan buah hospital dan empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
“14 Kluster Kailan Tringkap (pertambahan 14 kes dengan jumlah keseluruhan 34 kes), 11 Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 11 kes dengan jumlah keseluruhan 172 kes), 2 Kluster Lorong Empat Jerantut (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 163 kes).
“46 kluster Pasar Kemunting (pertambahan 46 kes dengan jumlah keseluruhan 253 kes), 18 Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 18 kes dengan jumlah keseluruhan 385 kes) dan 1 Kluster Sentral Triang (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 28 kes).
“170 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC. Berdasarkan jumlah ini, terdapat 25 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 15 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 10 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HOSHAS) dengan lapan (8) kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.
Sebanyak 250 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 13,456 kes. – PAHANGMEDIA