YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika meninjau proses vaksinasi COVID-19 di Pulau Tioman hari ini.

YAB MENTERI BESAR AMAT PUAS HATI PROSES SUNTIKAN VAKSIN DI TIOMAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TIOMAN, 29 JUN 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail amat berpuas hati dengan proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pulau Tioman.

Beliau berkata, tahap kehadiran penduduk yang menerima suntikan vaksin adalah amat menggalakkan hasil daripada tinjauan yang dilakukan hari ini.

“Hari ini saya datang ke Pulau Tioman untuk meninjau sendiri pemberian vaksin di pulau ini dan saya amat berpuas hati terutama sekali dari segi kehadiran.

“Walaupun sasaran cuma 1,700 orang daripada 2,400 orang yang sepatutnya disuntik iaitu 70 peratus tetapi kehadiran adalah menggalakkan. Sebagai contoh di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampung Genting saya dimaklumkan bahawa 100 peratus kehadiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di PPV Marina, Kampung Tekek, dan PPV Kampung Genting, di sini, hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan Ariffin; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

Sementara itu, mengulas mengenai lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata Kerajaan Pahang akan mengumumkan beberapa bantuan kepada rakyat negeri ini.

“Saya akan umumkan dalam masa terdekat (bantuan). Saya dah umumkan yang pertama RM7.8 juta kemudian RM9.5 juta dan minggu depan saya akan umumkan lagi.

“Bagi sasaran penerima saya belum lihat secara teliti lagi tapi saya telah putuskan sejumlah peruntukan kewangan beberapa juta (RM) dan perinciannya esok saya akan lihat sebab bantuan kita adalah bersasar, kita bagi kepada mereka yang memerlukan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds