Sebanyak lima laporan polis hari ini dibuat ke atas seorang pengguna laman sosial Twitter yang menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

TINDAKAN TEGAS TERHADAP PEMILIK TWITTER HINA KDYMM PEMANGKU RAJA

Oleh : Shazli Sufi Che Uni

RAUB, 29 JUN 2021: Sebanyak lima laporan polis hari ini dibuat ke atas seorang pengguna laman sosial Twitter yang menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pemuda UMNO Raub, Encik Fadzli Kamal berkata, laporan polis ini dibuat bagi menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan tindakan yang tegas kepada pelaku berkenaan.

“Tindakan biadap tersebut haruslah dihentikan serta merta agar tidak meracuni dan mempengaruhi pola pemikiran generasi muda hari ini.

“Anak muda harus sedar bahawa tindakan ini salah dan tidak boleh dilakukan oleh sesiapa pun di dalam negara ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Turut sama dalam laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub itu ialah Pengerusi UMMAH Raub, Pengerusi Majlis Belia Raub, Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Mempaga, Naib Ketua Pemuda PAS Raub dan AJK Pemuda PAS Raub.

Selain itu, mereka turut sebulat suara sepakat menolak dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap pengguna media sosial tersebut yang berniat jahat memperlekehkan Institusi Diraja di negara ini.

“Dalam hal ini, kami menggesa pihak polis dan SKMM untuk mengesan pelaku media sosial yang tidak bertanggungjawab ini untuk dihadapkan ke muka pengadilan sekaligus dikenakan tindakan tegas.

“Pada masa yang sama, kami menjunjung kasih dan berikrar akan mempertahankan Institusi Raja yang memayungi rakyat di negara ini. Komitmen ini adalah selari dengan prinsip kedua yang digariskan dalam Rukun Negara iaitu “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds