COVID-19: 899 ORANG PESAKIT DITEMPATKAN DI EMPAT PKRC
Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 29 JUN 2021: Kapasiti pesakit di empat buah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini adalah seramai 899 orang setakat hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sebuah lagi PKRC iaitu Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) telah ditutup baru-baru ini dan ia digantikan sebagai pusat kuarantin.
“PKRC Gambang menempatkan 348 orang daripada 1,380 tempat manakala Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) Kuantan kini boleh dikatakan penuh selepas menempatkan 310 orang daripada 311 tempat.
“Bagi Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bukit Tinggi menempatkan seramai 129 orang daripada 171 tempat yang disediakan dan di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) pula menempatkan 70 orang daripada 250 tempat, ” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman
Beliau berkata, sebanyak 1,342 tempat atau 60 peratus kapasiti masih boleh digunakan di kesemua PKRC yang telah dibuka.
Menurut beliau lagi, kapasiti di lima Pusat Kuarantin yang ada menunjukkan penggunaan sebanyak 313 tempat berbanding 545 tempat yang disediakan sehingga hari ini.
“Seramai 87 orang ditempatkan di Pusat Kuarantin Institut Aminuddin Baki, 19 orang di i-KPKT, 59 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muadzam Shah, 35 di Cool Point Hotel Cameron Highlands dan 113 di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
“Kapasiti di semua pusat kuarantin sebanyak 545 tempat masih berbaki 232 tempat atau 43 peratus lagi,” katanya.
Menurutnya, seramai 51 tempat daripada 200 tempat disediakan bagi kuarantin kendiri di Hotel Sri Manja digunakan setakat hari ini.
Katanya lagi, jumlah keseluruhan individu yang ditempatkan di PKRC dan Pusat Kuarantin di negeri ini adalah seramai 1,263 orang, terdiri daripada 1,052 orang warganegara dan bakinya 211 orang adalah bukan warganegara. – PAHANGMEDIA