Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 JUN 2021 : Dua kes kematian baharu akibat COVID-19 yang mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga dilaporkan hari ini.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 126 kes.

“Kes ke-125 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 67 tahun dari Kg Tanjung Kerayong, Mentakab, Temerloh. Kes mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, strok dan lumpuh sebelah badan. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
“Kes ke-126 merupakan seorang lelaki berbangsa Cina berumur 79 tahun dari Kg Baru Kemayan, Bera. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.
Beliau berkata terdapat tujuh kluster aktif mencatatkan pertambahan kes hari ini melibatkan 64 kes.
“Kluster Lorong 4 Jerantut (pertambahan 3 kes dengan jumlah keseluruhan 56 kes), Kluster Kailan Tringkap (pertambahan 3 kes dengan jumlah keseluruhan 20 kes), Kluster Sentral Triang (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 27 kes).
“Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 367 kes), Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 32 kes dengan jumlah keseluruhan 207 kes), Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 16 kes dengan jumlah keseluruhan 160 kes) dan Kluster Industri Jalan 1/6 Gebeng (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 13 kes),” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 89 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 22 kes merupakan warganegara asing direkodkan hari ini.
“Sebanyak 109 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan dua (2) kes import (2 dari Indonesia). Terdapat 64 kes diperolehi daripada saringan kluster, 22 saringan kontak rapat, 6 saringan bergejala, 17 saringan bersasar dan dua saringan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 1,106 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan buah hospital di negeri Pahang dan empat buah Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) manakala 152 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.
“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 21 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 11 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 10 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan lapan kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.
Sebanyak 111 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang kepada 13,206 kes. -PAHANGMEDIA